UmiAishah’s Bio

Seorang insan biasa yang mendambakan kasih TuhanNYA dalam setiap taklifan sebagai suri kepada Ahmad Syafiq Jusoh dan umi kepada Nurul Ain. Mendirikan rumahtangga pada 14 April 2010 dan bergelar umi pada 28 Ogos 2011. Sedang bermusafir mengutip mutiara ilmu bersama keluarga di Universiti Yarmouk, Jordan dalam bidang Bahasa Arab dan Kesusasteraan .

UmiAishah’s Friends

Menyemai Kembali

 

 

Bismillahirrahmanirrahim..

 

Alhamdulillah wa syukrulillah umi panjangkan atas cinta dan kasihNYA pada kita semua saban hari. Hampir setahun laman ini ditinggalkan tanpa siraman dan coretan.  Bukan bermakna mahu menyepi atau tiada apa yang mahu dikongsi tetapi kekangan masa dan komitmen yang menjerat untuk terus menyemai benih kasih sayang buat adik-adik sekalian.

 

Insyallah minggu hadapan usia putri umi akan genap 15 bulan. Melihat perkembangan dan setiap keletah comel Nurul Ain saban hari sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan keletihan umi saban hari dalam mengharungi kesibukan jadual seharian umi. Bergelar umi, suri dan pelajar dalam satu masa bukanlah suatu perkara mudah yang perlu umi akui. Jadual harian perlu diatur secara sistematik agar setiap tanggungjawab dapat dilaksanakan sebaik mungkin kerana tanggungjawab itu amanah yang akan dipersoalkan kelak.

 

Umi sangat khuatir andai setiap tanggungjawab ini terabai kerana kelak dihari pembalasan kita semua akan ditanya akan amalan dan tanggungjwab yang digalaskan. Tanggungjawab yang tiga ini sahaja sudah cukup berat umi rasakan, belum dibicarakan lagi soal tanggungjawab yang sudah tergalas saat lahirnya kita semua didunia sebagai pendakwah dan khalifahNYA. Tidak hairanlah bahawa gunung-ganang pun tidak sanggup menggalasnya inikan pula insan kerdil yang lemah seperti kita. Sama-sama kita nilai dengan hati insyallah.

 

Hampir setahun umi tidak melakarkan apa-apa coretan membuatkan jari jemari semakin keras dan larian kalam sedikit perlahan.  Sedikit sebanyak ia menggangu perasaan umi, kesedihan dan kekesalan menyapa sudut hati tetapi apakan daya. Untuk menghasilkan buah yang baik dari laman kita, ia menuntut fokus dan masa yang berkualiti dan umi tidak mampu mempenuhinya. Sepenuh masa terpaksa diberikan kepada putri umi yang sedang membesar. Mengajarnya meniarap, merangkak, bercakap, dan bertatih sehingga ke hari ini, nurul ain sudah pandai berdiri dengan sendiri tanpa bantuan sesiapa. Hati umi sangat gembira melihat perkembangannya dan umi bangga dengan putri umi.

 

Kelincahannya dan keletahnya semakin mencuit hati pabila ain sudah pandai berbicara. Nurul Ain sudah pandai memanggil umi dan abi, sudah pandai menyebut namanya sendiri, dan beberapa perkataan asas seperti ambil (bik), bagi (buwi – versi kelantan), terima kasih (ceeh), sedap (dap), hendak (nak) dengan lentuk lahjahnya yang tersendiri. Umi abi semakin bangga dan terasa sangat bahagia tatkala ain sudah pandai mencium tangan dan pipi umi abi. Benarlah anak itu rahmat dan sakinah dalam rumahtangga. Alhamdulillah atas kurniaanMU Ya Allah.

 

Seiring usianya setahun ini, umi berharap dan berdoa agar umi dapat memulakan semula semaian umi di laman ini agar umi dapat berkongsi pahit manis garam dan gula kehidupan umi bersama adik-adik untuk dijadikan pedoman dan panduan dalam kehidupan kalian. Apa yang baik ambillah dan yang buruk mohon dijadikan pedoman kerana umi juga insan biasa yang hanya mendambakan redhaNYA. Semoga dengan usaha yang kecil ini akan tetap dinilai oleh Allah s.w.t  sebagai amalan. Akhirulkalam mohon doa agar diberi kekuatan dan kesabaran untuk sentiasa istiqomah dalam setiap perbuatan.

 

Sebelum umi mengundur diri dan jemari berhenti menari, seribu penghargaan dan ribuan terima kasih umi kalungkan buat suami tercinta dan sahabat-sahabat yang sentiasa membantu meringankan bebanan umi saban hari. Semoga Allah membalasnya dengan ganjaran yang terbaik insyallah.

 

Sharing is caring,

caring is loving,

left with love.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

November 2012
M T W T F S S
« Dec    
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
2627282930  

UmiAishah’s Comments