UmiAishah’s Bio

Seorang insan biasa yang mendambakan kasih TuhanNYA dalam setiap taklifan sebagai suri kepada Ahmad Syafiq Jusoh dan umi kepada Nurul Ain. Mendirikan rumahtangga pada 14 April 2010 dan bergelar umi pada 28 Ogos 2011. Sedang bermusafir mengutip mutiara ilmu bersama keluarga di Universiti Yarmouk, Jordan dalam bidang Bahasa Arab dan Kesusasteraan .

UmiAishah’s Friends

Monthly Archives: March 2010

kenangan kan kekal dilubuk hati

Antara ahli kariah masjid yang hadir di majlis perkahwinan kami di Rawang

By : NurShah

Pejam celik sudah sebulan lebih saya mendirikan rumahtangga. Tidak saya nafikan kesibukkan yang semakin bertambah dari hari ke hari. Tambahan pula saya berkerjaya. Tetapi sungguh hati saya bahagia. Kepenatan yang dirasai ibarat hilang dan terbang entah ke mana tatkala melihat senyuman kasih dari suami tercinta. Ibarat merestui dan berpuas hati dengan khidmat yang dihulurkan kepadanya. Semoga Allah sentiasa memberikan saya kekuatan dalam mencari redhaNYA. amin.
Terkenang kembali saat bahagia diawal perkahwinan kami. Sungguh saya katakan bahawa kenangan ini adalah diantara kenangan yang tidak akan saya lupakan. Kerana keistimewaannya yang sukar diperolehi oleh setiap individu yang membuatkan saya terpanggil untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat.
Rancangan asal
Pada hari Ahad malam Isnin (22 Februari 2010), saya dan suami telah bersepakat untuk membuat kenduri doa selamat di Masjid Ar-Rahimah, Kg Pandan memandangkan suami saya seorang imam di masjid itu. Niat asal kami mengadakan kenduri itu, hanyalah ingin meraikan kariah masjid yang tidak dapat hadir ke majlis perkahwinan kami di Rawang. Tidak lebih dari itu.
Mengikut rancangan asal, majlis akan diadakan selepas isyak. Tiada yang istimewa mampu kami rancangkan untuk kariah. Sungguh kami ketandusan idea. Memandangkan keletihan yang masih bersisa sejak 14 Februari lalu, memaksa kami membuat persiapan sekadar yang mampu sahaja.
Makanan dan minuman telah ditempah mengikut yang dirancangkan. Kami menganggarkan makanan untuk 100 orang. Bee Hoon Sup dan Laksa serta air soya. Anggaran perbelanjaan untuk kenduri ini adalah RM 600. Berat juga kami rasakan memandangkan kami baru berkahwin. tetapi kami yakin rezeki milikNYA. Lalu kami ikhlaskan hati.
Majlis Bermula
Majlis bermula seperti yang dirancangkan. Ahli kariah lelaki kelihatan sudah mula mengambil makanan. Timbul rasa gembira melihat ramai ahli kariah yang hadir. Syukur Alhamdulillah. Sedang saya leka memerhatikan keramahan suami melayan kariah lelaki, saya tersentak tatkala disapa lembut oleh salah seorang ahli kariah wanita.
Sungguh saya terkejut, ramai kariah wanita yang hadir. Kami bersalaman dan berkenalan. Soalan bertalu-talu diajukan kepada saya membuatkan saya sukar menjawab kesemua soalan mereka. Tetapi hati saya terharu, dapat saya rasakan bahawa mereka mengalu-alukan kehadiran saya disini.
Kejutan dari Ahli Kariah
”Ustazah, sebelum kami makan, kami ada kejutan buat ustazah dan ustaz Syafiq..sebagai hadiah dari kariah wanita Masjid Ar-Rahimah..Boleh ke ustazah?” kata salah seorang ahli kariah wanita kepada saya. Lalu saya mengalu-alukan mereka. Timbul rasa ingin tahu yang sangat mendalam, apakah yang ingin mereka lakukan memandangkan mereka duduk mengelilingi saya.
Ucapan aluan dari seorang wakil kariah wanita disampaikan. Selepas kata aluan, saya melihat mereka membuka kitab berzanji. Selawat dialun dengan begitu merdu sekali. Sungguh menyentuh hati. Selepas selawat, mereka menyambung alunan itu dengan lagu berzanji khas untuk pengantin baru. Hati saya benar-benar sebak kala itu. Air mata berlinangan pabila menghayati setiap bait kalimah yang didendangkan.
Kejutan Demi Kejutan
Saya benar-benar terharu dan tanpa sedar air mata saya mengalir setitis dua dihadapan semua ahli kariah wanita. Kelihatannya mereka juga begitu. Suasana sepi seketika. Lalu mereka meminta saya menyampaikan sepatah dua kata dan kala itu, hanya ucapan terima kasih yang mampu saya ucapkan kepada mereka. Dan mereka kelihatannya tersenyum bangga mendengar pujian saya.
Sungguh saya rasakan seperti mereka benar-benar mengalu-alukan kehadiran saya. Dendangan lagu berzanji tadi masih ternyiang-nyiang ditelinga saya. Saya sangat gembira kerana pengalaman ini sukar diperolehi oleh setiap individu memandangkan adat berzanji semakin hilang didalam masyarakat kita. Kalau masih adapun hanya dikampung-kampung sahaja. Sungguh saya beruntung.
Kejutan demi kejutan diberikan oleh ahli kariah masjid ini. Sungguh saya tidak menyangka. Tambahan pula pabila suami saya memberitahu bahawa seorang hamba Allah (ahli kariah masjid) telah membayarkan separuh dari kos makanan yang sepatutnya kami bayar. Minuman juga begitu. Membuatkan kami terharu. Kami hanya membayar RM 250 sahaja dari kos yang dianggarkan. Alhamdulillah.
Kenangan yang manis
Sungguh kami terharu dan kami tidak menyangka ini yang terjadi. Niat asal majlis ini diadakan adalah untuk meraikan ahli kariah, tetapi sebaliknya yang terjadi. Kami pula yang diraikan sebegini rupa. Syukur alhamdulillah. Semoga Allah memelihara ikatan ukhwah diantara kami.
Kenangan ini akan kekal bersemadi di lubuk hati saya. dan secara tidak langsung, ia menjadi satu kenangan yang sangat manis dalam hidup kami.
Sekian
March 2010
M T W T F S S
« Feb   May »
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
293031  

UmiAishah’s Comments